Warkah buat prometido

Masa terus berlalu,

merakam saat manis tika mengikat sebuah janji,

pertemuan pertama kali buat dua hati,

 

detak jantung berdebar tak menentu,

malu menguasai bila terdengar dibalik pintu,

dua keluarga merancang sebuah penyusunan,

membina keberkatan ikatan dalam perhubungan,

kagum daku akan sajak Aminah Qutb buat bakal suami,

memberi nafas baru dalam mujahadahku menjaga simpulan kasih ini,

agar keberkatan mengharumi setiap perjalanan kehidupanku nanti,

Sekiranya kita cinta kepada manusia,

     tak semestinya manusia cinta kepada kita,

     Tetapi sekiranya kita cinta kepada ALLAH,

     nescaya cinta ALLAH tiada penghujungnya,

     Sekiranya kita cinta kepada manusia,

     kita akan cemburu kepada orang yang mencintai orang yang kita cintai,

     Tetapi sekiranya kita cinta kepada ALLAH,

     kita akan turut mencintai orang yang melabuhkan cintanya kepada ALLAH juga,

     Ya ALLAH,

     andainya dia adalah jodoh yang ditetapkan olehMu kepadaku,

     Maka,

     campakkanlah ke dalam hatiku,

     cinta kepadanya adalah keranaMu,

     dan campakkanlah ke dalam hatinya,

     cinta kepadaku adalah keranaMu,

     Namun,

     andainya dia bukanlah jodoh yang ditetapkan olehMu kepadaku,

     berikanlah aku kekuatan agar pasrah dalam mengharungi ujian yang Kau berikan kepadaku.. (Aminah Qutb)

 

Mengikat janji ikatan pertunangan bukan menghalalkan cara,

bukan tiket kebebasan berduaan sepanjang masa,

bukan resit kemesraan antara kita,

kerna aku dan dirimu masih lagi bukan mahram

 

Kekuatan diri sebagai perisai mendamba cinta ILahi,

bagi meletakkan cinta manusia sebagai wasilah,

menagih rahmat dan maghfirah,

membentuk mawaddah dan wa rahmah

Agamamu menjadi tawanan hati dan kalbu,

Jika hilang agamamu dalam dirimu,

maka lunturlah harapanku padamu

 

Moga ikatan ini tidak dicemari dengan maksiat nan keji,

dipermudahkan segala urusan bagi memeterai sebuah janji abadi..